Muslim Entrepreneur

SHARING WITH YOU HOW TO BECOME AN ENTREPRENEUR. What do WE need to do to become EXCELLENT entrepreneur ?

Keusahawanan + kegemilangan Islam

Assalamualaikum, harap tidak terlambat untuk mengucapkan selamat tahun baru Hijrah 1431 H. Alhamdulillah hari ini saya berkesempatan untuk kemaskini maklumat terbaru saya di dalam ruangan blog Muslim Entrepreneur ini, maklumlah sebelum ini saya berusaha untuk merangcang dan menyiapkan website GenUsahawan saya di samping menghadiri beberapa kursus untuk menambah ilmu dan sedikit pengalaman dalam dunia perniagaan ini.

Baiklah pada kali ini saya ingin berkongsi sedikit maklumat berkenaan apa yang dimaksudkan dengan keusahawanan dari sudut istilahnya dan juga dari perspektif Islam.

Merujuk kepada kamus dewan, keusahawanan ditakrifkan sebagai segala-gala yang berkaitan dengan usahawan atau kegiatan dan kemahiran usahawan.

Menurut Adnan Alias-1997 pula keusahawanan ialah proses pewujudan dan pengembangan perniagaan secara terkumpul yang boleh membentuk daya tenaga pembangunan negara demi kemakmuran masyarakat.

Dan mengikut perspektif Islam pula, keusahawanan ialah satu bidang kerja yang sangat mulia serta dipandang tinggi dan mulia dalam Islam. Hal ini kita boleh renungkan daripada sebuah hadith Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

"Lebih baik seorang yang membawa tali, lalu memikul seberkas kayu api, dan menjualnya, lalu dia memperoleh nafkah daripada usahanya dan tidak lagi memerlukan bantuan orang lain memberikannya atau tidak. Kerana tangan yang di atas adalah lebih baik dariapada tangan yang di bawah. Mulakan (sedekah) dengan orang yang bawah tanggunganmu." (Hadith riwayah Abu Hurairah oleh Muslim dari kitab Sahih Muslim pada bab zakat)

Juga Rasulullah bersabda yang bermaksud, " Tidak ada makanan yang dimakan oleh seseorang yang lebih baik daripada hasil usaha tangannya sendiri. Nabi Daud a.s. makan daripada hasil usahanya sendiri."(Riwayat imam Bukhari)

Islam tidak menggalakkan seseorang itu sentiasa duduk bertapa di masjid sebaliknya hendaklah aktif bekerja mencari rezeki tanpa melupakan tanggungjawab kepada Allah s.wt.

Kita dapat merenung sirah nabi tercinta Rasulullah s.a.w yang mula berniaga dengan menggembala kambing sejak kecil. Baginda telah diajar oleh datuknya Abdul Mutalib dan juga bapa saudaranya Abu Talib sejak kecil lagi. Sejurusnya meningkat remaja, baginda telah membawa barang dagangan yang besar(kepunyaan Sayidatina Khadijah) ke negara Syam( sekarang Syria) dan memperoleh keuntungan belipat kali ganda.

Kita boleh kaitkan di sini bagaimana perkembangan Islam sehingga hari ini dengan kemahiran keusahawanan Rasulullah s.a.w. Seperti yang kita ketahui, bidang perniagaan memerlukan kita mempunyai pelbagai kemahiran untuk berjaya seperti baginda.

Antara kemahirannya adalah kebolehan berkomunikasi secara berkhemah, kemahiran merangka strategi perniagaan, kemahiran merancang kewangan dan sebagainya. Jika kita lihat dari aspek berbeza iaitu aspek menyebarkan dakwah Islam, kita mempunyai produk terbaik iaitu agama Islam, namun bagaimanakah kita boleh menyampaikan penerangan yang tepat tanpa kemahiran komunikasi yang baik? bagaimana pula cara/strategi untuk menyampaikannya secara berkesan? dan bagaimana pula untuk kita membantu sedara seagama yang hidup dalam kesusahan tanpa adanya dana yang cukup? Persoalan ini terjawab daripada latihan kemahiran keusahawanan yang betul mengikut garis panduan Islam yang sebenar.

Kesimpulannya, sama-samalah kita bermuhasabah diri kita. Hidup ini hanyalah sementara. Orang sekeliling ada yang telah pergi ..... Namun bagaimana kita boleh optimumkan hidup ini sebaik mungkin untuk memberi manfaat kepada semua dan bukan hanya diri sendiri.

Tahun baru, semangat baru, azam baru" kearah perpaduan dan kegemilangan Islam tercinta"

Wallahualam... :)



Langkah Awal Kearah Usahawan Terbilang

Terdapat beberapa langkah:-

1. MEMAHAMI ERTI KEJAYAAN
-memahami apa yang dimaksudkan dengan kejayaan yang ingin dicapai.
"Erti kejayaan sebenar terletak pada kebolehan kita memperbaiki segala kelemahan diri kita"

2. SENTIASA FOKUS PADA MATLAMAT
- Matlamat perlu jelas+terang

3. MEYAKINI DIRI SENDIRI
-yakin diri dengan usaha yang gigih

4.KUAT DISIPLIN DIRI
-punyai jadual harian, dan peraturan yang menjadi tabiat semulajadi.

5. JADIKAN DIRI SENDIRI CONTOH TERBAIK
-menjadi model

6. JANGAN BERBOHONG
-berbohong menghilangkan keberkatan dalam hidup

"Rasulullah s.a.w. pernah melalui selonggok makanan, lalu Baginda memasukkan tangannya ke dalam longgokan tersebut. Jari-jarinya menjadi basah. Lalu baginda bertanya,"Apa ini wahai pemilik makanan? Dia menjawab: "Ia ditimpa hujan wahai Rasulullah." Baginda bersabda:"Mengapa kamu tidak letakkan di atas supaya orang ramai dapat melihatnya. Siapa yang menipu, dia bukan daripada golongan kami (orang Islam)."
(Riwayat Muslim daripada Abu Hurairah)

Berjaya dalam perniagaan dan cemerlang kekeluargaan.

Assalamualaikum, alhamdulillah saya berpeluang sambung post kedua saya dalam blog ini untuk dikongsi dengan sesiapa sahaja yang sudi. Sekarang ini saya sedang merangcang dan membuat persiapan untuk melancarkan website terbaru saya berkenaan usahawan internet. Sama-sama kita nantikan ya. :)

Pada kali ini saya tertarik dengan bacaan saya mengenai tajuk yang saya tulis diatas. Kejayaan seorang usahawan boleh dibahagikan kepada 4 kategori:-

1. BERJAYA dalam perniagaan, BERJAYA dalam kekeluargaan.
- Ibaratkan seorang yang tidak pernah berpeluang belajar di IPT, namun dengan usahanya yang gigih bertukar daripada pemandu teksi kepada pemandu Ferrari dan mempunyai syarikat teksi sendiri dengan 33 teksi sendiri di samping 11 orang anak yang cemerlang dalam pelajaran, soleh dan solehah.

2. BERJAYA dalam perniagaan, GAGAL dalam kekeluargaan.
- Ibaratkan berjaya dalam apa jua perniagaan yang diceburinya namun keluarganya bercerai-berai. Isteri lari, anak-anak dengan masalah sosialnya seperti dadah dan hiburan yang melampau sehingga tidak sedarkan diri akan tanggungjawab yang sepatutnya kita pegang sebagai khalifah(pemimpin) di muka bumi ini untuk membuat amal kebaikan ikhlas kerana Allah.

3. GAGAL dalam perniagaan, BERJAYA dalam kekeluargaan
- Umpama seorang yang TIDAK PERNAH berjaya sepenuhnya dalam perniagaan tetapi mempunyai 21 orang anak yang berjaya; 2 orang Penolong Pengarah( PTD), 2 orang menjadi jurutera dalam syarikat petroleum, 7 orang memasuki universiti ( 3 orang keluar negara dan 4 orang didalam negara), 6 orang di sekolah Tahfiz dan 4 orang lagi di sekolah agama berasrama penuh. Walaupun dia tidak berjaya namun dia pastikan anak-anaknya berjaya dan lebih baik daripadanya.

4. GAGAL dalam perniagaan, GAGAL dalam kekeluargaan.
- Malang sekali bagi golongan ini. Sebagai contoh, seorang yang berjaya dalam perniagaan dan kemudian dipecat daripada jawatannya yang agak baik, menganggur tanpa hala tuju lebih setahun, hanya duduk di masjid dan masih bujang(lelaki),walaupun dan berusia 50 tahun!

----------------------
Anda berada di kategori mana?
Yang mana akan anda pilih?

Secara lumrahnya setiap insan inginkan kejayaan dalam perniagaan dan setiap apa yang dilakukannya di samping mempunyai keluarga yang Sakinah( tenang dan harmoni).
Namun bagaimana kita mampu mencapainya?

Jawapannya terletak pada keredhaan Allah S.W.T. Dengan mendapat keradhaan Allah S.W.T., ia merupakan tahap kejayaan perniagaan dan kecemerlangan kekeluargaan yang paling tinggi. Setakat BERJAYA sahaja bukan kayu ukur seseorang usahawan itu dalam redha Allah S.W.T. Keredhaan Allah S.W.T itu sifatnya subjektif seperti kebahagiaan keluarga.

Redha Allah hanya dinikmati apabila MELAKSANAKAN semua PERINTAH Allah S.W.T. dan dan MENINGGALKAN segala LARANGAN-NYA. Walaupun jika pada zahirnya kita nampak macam kurang berjaya, tetapi jika Allah S.W.T redha dengan kita, kita akan mendapat sakinah(ketenangan) di dunia dan lebih-lebih lagi ketenangan di akhirat yang kekal abadi.

(Diringkaskan daripada penulisan Dato' Dr. Hj. Fadzilah Kamsah dan Haji Muhammad Zakaria.)

Tujuan + Ingatan + Harapan

Alhamdulillah syukur kpdNya kerana saya diizinkan untuk kembali menulis blog ini.

Tujuan utama saya menulis kembali blog ini adalah bagi berkongsi hal-hal berkaitan perniagaan ataupun keusahawanan dan juga aspek-aspek kehidupan yang kita lalui seharian.

Minat saya yang mendalam tentang dunia perniagaan ini telah banyak mendorong saya untuk mencari sumber buku-buku yang berkaitan dengannya. Saya masih dalam proses belajar dan berusaha untuk memantapkan ilmu perniagaan saya dan tidak lupa juga ilmu agama Islam sebagai panduan hidup kita seharian. Islam sebagai Ad-Din iaitu Islam sebagai cara hidup.

Permulaan ilmu perniagaan yang saya terima adalah sejak dari kecil lagi iaitu ketika saya bersama arwah abah yang telah pun kembali ke rahmatullah pada akhir January 2009.
(sama-samalah kita sedekahkan Al-Fatihah buat beliau). Beliau merupakan seorang ahli perniagaan dalam sektor pembinaan yang amat saya kagumi kesungguhannya. Beliau berkerja keras siang dan malam untuk mencari rezeki buat kami sekeluarga. Pernah satu ketika kami marah beliau sebab beliau sentiasa telefon clientnya walaupun sedang bersama keluarga. Tapi itulah lumrah perniagaan yang kita kena fahami sebagai ahli keluarga. Ia tidak mengenal masa, seperti doktor yang sentiasa menunggu panggilan kecemasan. Ingatan bersama masih segar dalam ingatan yang membuat hati ini terlalu rindu nak bersama kembali. Tapi itulah lumrah hidup kita yang sementara ini, ia adalah sesuatu yang tidak kekal dan yang kekal hanyalah kehidupan di akhirat kelak. Berpisah kita sementara di dunia, bersatu kita di akhirat. insyaAllah.

Berbekalkan semangat dan azam yang telah abah tunjukkan kepada saya, insyaAllah akan saya cuba contohinya. Hajat abah supaya anak-anak menjadi lebih baik dari abah akan saya cuba kotakan. Itulah misi ataupun tujuan sebuah perkahwinan, melahirkan zuriat yang soleh dan lebih baik dari kita. Semua ingatan abah yang masih terngiang-ngiang di kepala. Saya berharap saya dapat sedikit sebanyak berkongsi dengan sesiapa sahaja yang sabar dan sudi membaca penulisan saya ini.

Mengapa kita perlu berniaga? Jawapannya adalah ...
  1. Supaya kita dapat sentiasa meningkatkan amal ibadah kita kepadaNya dan lebih rapat dan sentiasa bergantung harap kepadaNya.
  2. Kita berupaya membuat sumbangan kepada golongan yang memerlukan kerana "tangan yang di atas lebih baik dari tangan yang di bawah".
  3. Seperti yang kita ketahui 9/10 rezeki itu datangnya dari berniaga. Dan kekasih yang tercinta kita Rasulullah S.A.W pun berniaga. Perniagaan ini adalah salah satu sunah yang patut kita semua ikuti.
Dan sebagainya...... Tapi AWAS, kita hendaklah sentiasa ingat bahawa dengan perniagaan kita boleh mengecapi kekayaan. Namun, kekayaan di dunia tidak menjamin kekayaan di akhirat. Kita harus kejar kekayaan akhirat dan insyaAllah dengan berkat dan rahmatNya kekayaan dunia akan turut serta. Kekayaan untuk apa? Kekayaan untuk berbakti kepada ummah bukan untuk kepentingan diri sendiri sahaja.

" The more you give the more you get"

Kita kena selalu berusaha dan yang lebih penting kita perlu sentiasa berdoa padaNya kerana hanya Dia yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Bersama-samalah kita kembalikan zaman kegemilangan umat Islam.InsyaAllah.